Friday, October 9, 2009

Bagan Pinang: Pesanan dari Bekas Mufti Perlis kepada pengundi Bagan Pinang...

Peringatan Untuk Pengundi Pilihanraya Kecil Bagan Pinang

Saya menasihatkan kepada penyokong kedua-dua parti yang bertanding agar sentiasa memikirkan kesan tindakan mereka pada nilaian agama, tanpa dipengaruhi emosi atau semangat yang tidak terkawal.

Jika kita sesama muslim bergaduh dan ‘berperang’ antara satu sama lain, apa yang akan terjadi kepada masa depan umat Islam dalam negara ini?!

Saya tidak mahu menyeru kepada parti kerana parti itu hanya nama yang dicipta yang perjalanannya ditentukan oleh insan-insan yang mendokongnya, justeru saya menyeru kepada individu-individu yang menyokong atau mendokong kedua-dua parti bahawa tanggungjawab yang lebih utama dalam hidup mereka yang lebih utama melebihi parti adalah tanggungjawab terhadap Islam; maka mereka dalam apapun tindakan hendaklah memastikan masa depan Islam tidak tercalar dengan apa yang mereka lakukan.

Mereka hendaklah selalu ingat amaran Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mengenai pemilihan, saya tetap dengan pegangan saya yang saya telah sebutkan sejak dulu dalam berbagai media iaitu ‘undi atau pilih berdasarkan calon’. Lihat kualiti calon, bukan lihat jenama parti. Pilih calon yang baik pada nilaian agama dan berkemampuan pada nilaian politik.

Dalam istilah siyasah syar’iyyah disebut al-Quwwah dan al-Amanah; yang ada kekuatan atau kemampuan atau ketangkasan melaksanakan tugas serta amanah terhadap tugasan tersebut. Inilah dua ciri yang disebut dalam al-Quran (maksudnya):

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

Gabungan dua ciri ini penting dalam apa tugasan yang hendak diserahkan kepada seseorang. Jika sekadar berkemampuan sahaja, tapi tidak amanah, maka penyelewengan akan berlaku. Jika sekadar amanah sahaja tetapi tidak berkemampuan atau tangkas dalam tugasnya, maka tanggungjawab akan terbengkalai.

Pengundi Bagan Pinang hendaklah dengan teliti menilai perkara ini. Maka kesimpulannya; pilihlah yang berkemampuan dan amanah. Maka dengan itu anda memenuhi tuntutan Islam.

-DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, USM, P.PINANG.

No comments:

linkwithin.com

Dalam isu Khutbah Jumaat di Pulau Pinang dan Non-Muslim masuk kedalam Masjid, ianya menyerlahkan akan KEJAHILAN pemimpin UMNO tentang hukum hakam Islam... Other Related Posts

..